Sebagai seorang guru, kita memiliki pelbagai tanggung jawab dan tugas yang
harus dilaksanakan sesuai dengan tuntutan profesi guru.Tugas utama dan
terpenting yang menjadi tanggung jawab seorang guru adalah memajukan,
merangsang dan membimbing pelajar dalam proses belajar. Segala usaha kearah itu
harus dirancang dan dilaksanakan. Guru yang berkesan dalam menjalankan tugasnya
adalah guru yang berjaya menjadikan pelajarnya bermotivasi dalam pelajaran.
Oleh itu untuk keberkesanan dalam pengajaran, guru harus berusaha memahami
makna motivasi belajar itu sendiri dan mengembangkan serta menggerakkan
motivasi pemberlajaran pelajar itu ke tahap yang maksimum.
Guru dapat memahami motivasi belajar jika sewaktu mengajar dia dapat
melaksanakan langkah-langkah seperti berikut:
1. Mengenal pasti tingkat kecerdasan para pelajar.
2. Melaksanakan teknik memotivasi pelajar.
3. Merumuskan tujuan belajar dan mengaitkan tujuan itu dengan keperluan dan
minat pelajar.
4. Menerapkan kemahiran bertanya kepada pelajar.
5. Melaksanakan aktiviti pengajaran dengan urutan yang sistematik.
6. Melaksanakan penilaian diagnostik.
7. Melaksanakan komunikasi interpersonal.
Memotivasi pelajar merupakan salah satu langkah awal yang harus dilakukan
oleh seorang guru dalam pengajaran dan pembelajaran. Jika guru telah berjaya
membangun motivasi pelajar semasa pengajaran dan pembelajaran bermakna guru itu
telah berjaya mengajar. Namun pekerjaan ini tidaklah mudah. Memotivasi pelajar
tidak hanya menggerakkan pelajar agar aktif dalam pelajaran, tetapi juga
mengarahkan dan menjadikan pelajar terdorong untuk belajar secara terus
menerus, walaupun dia berada di luar kelas ataupun setelah meninggalkan
sekolah.
Untuk meyakinkan diri kita bahawa memotivasi pelajar dalam belajar merupakan
tugas guru dan berkewajiban pula melaksanakannya, maka pendekatan Behavioristik
perlu kita jadikan pedoman dalam mengajar. Para pakar Behavioristik
mengemukakan bahawa motivasi ditentukan oleh persekitaran. Guru merupakan
persekitaran yang sangat berperanan di dalam proses belajar. Oleh kerana itu,
meningkatkan motivasi pelajar dalam pelajaran merupakan tugas yang sangat
penting bagi guru.
Mengapa usaha memotivasi pelajar itu sangat penting bagi guru? Sesetengah
guru mungkin beranggapan bahawa tugas mereka sebagai guru hanyalah mengajar
sahaja, bukan menimbulkan minat pelajar terhadap apa yang mereka ajarkan.
Guru-guru seperti ini menghabiskan masa mereka di dalam kelas semata-mata hanya
untuk menuangkan bahan pelajaran kepada pelajar. Mereka tidak peduli sama ada
isi pelajaran yang mereka ajarkan atau yang mereka terangkan itu dapat diterima
oleh pelajar untuk dijadikan sebagai miliknya atau tidak. Mereka tidak
memperhatikan apakah bahan yang mereka ajarkan itu bermanfaat dan mempengaruhi
tingkah laku atau perkembangan pelajar ke arah yang positif. Guru-guru seperti
ini tidak menyedari bahawa pelajar-pelajar yang tidak berminat tidak akan dapat
menerima pelajaran dengan baik.
Pelajar yang tidak berminat terhadap apa yang diajarkan oleh guru tetapi dia
diharuskan mempelajarinya, dapat menimbulkan suatu perasaan benci terhadap mata
pelajaran itu, bahkan untuk selanjutnya pelajar itu tidak akan ingin pernah
mempelajarinya. Di dalam kelas yang kita ajar mungkin kita akan mendengar
pelajar berkata, "Saya tidak mampu belajar Bahasa Inggeris" atau
"Saya tidak dapat belajar matematik." Jika kita teliti
permasalahannya, bukan kerana kedua-dua mata pelajaran tersebut sukar atau
tidak menyenangkan, tetapi kerana guru kedua-dua mata pelajaran itu tidak menggunakan
strategi yang berkesan, sehingga pelajar tidak tertarik untuk mempelajarinya.
Pelajar tidak bermotivasi, malahan merasakan mata pelajaran tersebut menjadi
menyiksa mereka.
Guru seharusnya menggunakan masa yang banyak sewaktu mengajar untuk
memotivasi pelajar-pelajarnya. Pelajar yang termotivasi dengan baik dalam
pelajaran akan melakukan lebih banyak aktiviti dan lebih cepat belajar jika
dibandingkan dengan pelajar yang kurang atau tidak termotivasi semasa belajar.
Ini memandangkan, jika guru dapat membangunkan motivasi pelajar terhadap
pelajaran yang diajar maka diharapkan pelajar akan sentiasa meminati mata
pelajaran tersebut.
Sesungguhnya usaha memotivasi pelajar dalam pendidikan adalah merupakan
suatu proses (1) membimbing pelajar untuk memasuki pelbagai pengalaman yakni
proses belajar sedang berlangsung; (2) proses menimbulkan semangat dan
keaktifan pada diri pelajar sehingga dia benar-benar bersedia untuk belajar;
dan (3) proses yang menyebabkan perhatian pelajar tertumpu kepada satu arah
atau tujuan pada satu masa, iaitu tujuan belajar.
Situasi kelas yang pelajar-pelajarnya termotivasi dapat mempengaruhi sikap
belajar dan tingkah laku pelajar. Pelajar yang termotivasi untuk belajar akan
sangat tertarik dengan berbagai tugas belajar yang sedang mereka kerjakan;
menunjukkan ketekunan yang tinggi; variasi aktiviti belajar mereka pun akan
lebih banyak. Di samping keterlibatan mereka dalam belajar lebih besar, mereka
juga kurang menyukai tingkah laku yang negatif yang dapat menimbulkan masalah
disiplin.
Oleh kerana itu, dalam upaya menjaga dan meningkatkan disiplin kelas maka
motivasi pelajar mesti dipertimbangkan. Ini bermakna meningkatkan motivasi
pelajar dalam belajar merupakan suatu cara yang baik dalam menghindari tingkah
laku pelajar yang negatif, kerana mereka terlibat aktif dalam belajar dan
terangsang untuk belajar.
Sebenarnya tujuan jangka panjang dalam membangun dan mengembangkan motivasi
pelajar dalam belajar adalah terbentuknya motivasi kendiri. Kita sebagai guru
ingin agar pelajar selalu terdorong untuk mengembangkan minatnya untuk belajar
walau di mana pun dia berada. Kita berharap agar pelajar-pelajar kita sentiasa
ingin menimba pelbagai ilmu pengetahuan walaupun mereka telah lepas dari
bimbingan kita. Tujuan pendidikan yang paling utama adalah untuk membangkitkan
dalam diri pelajar suatu motivasi yang kuat dan terus menerus untuk belajar.
Hal ini akan menjadi suatu kecenderungan dan kebiasaan dalam melakukan proses
belajar selanjutnya.
Yang menjadi persoalan sekarang ialah bagaimana caranya kita semasa
melakukan pelbagai usaha untuk membangun dan mengembangkan motivasi pelajar
semasa belajar? Para pakar Humanistik, misalnya Carl Rogers, seorang pakar
psikologi mengemukakan bahawa pada dasarnya di dalam diri setiap manusia ada
keinginan yang sangat kuat untuk belajar yang bersifat semulajadi. Jadi, di
dalam diri pelajar keinginan itu sudah ada. Guru hanya mengembangkan atau
memupuk keinginan itu sehingga keinginan belajar itu dapat direalisasikan dalam
bentuk prestasi yang maksimum. Para pakar Behavioristk pula, misalnya B.F.
Skinner, seorang pakar pendidikan mengemukakan bahawa motivasi pelajar sangat
ditentukan oleh persekitarannya. Pelajar akan termotivasi semasa belajar jika
persekitaran belajar dapat memberikan rangsangan sehingga pelajar tertarik
untuk belajar. Guru harus mengatur persekitaran atau suasana belajar secara
bijaksana sehingga pelajar termotivasi untuk belajar.
Dalam proses mengajar dan belajar, guru dituntut memiliki pelbagai
pengetahuan dan pemahaman yang bermanfaat untuk menimbulkan dan meningkatkan
motivasi pelajarnya semasa belajar, sehingga proses belajar yang dibimbingnya
berjaya secara optimal. Oleh kerana itu, guru perlu memahami dan menghayati
serta menerapkan pelbagai prinsip dan teknik-teknik untuk membangkitkan dan
meningkatkan motivasi pelajar dalam pembelajaran. Memang banyak sekali prinsip
dan teknik yang berbeza-beza yang perlu diketahui oleh guru, kerana di dalam
usaha memotivasi pelajar sesungguhnya tidak hanya satu prinsip dan teknik yang
paling mujarab dipakai untuk semua pelajar, sepanjang masa, dan untuk semua
situasi. Berbeza mata pelajaran, berbeza keperibadian pelajar, dan berbeza
keperibadian guru menuntut perbezaan prinsip dan teknik yang dipakai dalam
memotivasi pelajar. Oleh kerana itu, perbezaan mata pelajaran, keperibadian
pelajar dan keperibadian guru harus dipertimbangkan dalam memilih
prinsip-prinsip dan teknik-teknik yang akan dipakai dalam memotivasi pelajar.
Di dalam kelas yang pelajar-pelajarnya terdiri dari kelompok yang memiliki
kemampuan yang sama namun berbeza keperibadian dan minat, variasi
prinsip-prinsip dan teknik-teknik yang dipakai akan lebih banyak. Di dalam
kelas mungkin kita akan menemui beberapa orang pelajar yang mampu memotivasi
dirinya sendiri. Pelajar-pelajar seperti ini tidak banyak memerlukan
pertolongan dari guru untuk merangsang minat mereka dalam belajar, kerana
mereka mampu mendorong diri mereka sendiri. Kebanyakan pelajar akan mempunyai
motivasi belajar jika kita menggunakan berbagai teknik untuk memotivasi mereka,
namun ada pula sejumlah pelajar yang baru akan termotivasi jika kita melakukan
usaha-usaha khusus bagi mereka. Oleh kerana itu kita sebagai guru hendaklah
fleksibel dalam memakai berbagai pendekatan dalam merangsang minat pelajar
dalam belajar, serta mampu menerapkan berbagai prinsip dan teknik yang berbeza
sesuai dengan keperluan masing-masing pelajar .
Motivasi merupakan jantung-nya proses belajar. Oleh kerana motivasi begitu
penting dalam proses pembelajaran, maka tugas guru yang pertama dan terpenting
adalah membangkitkan atau membangun motivasi pelajar terhadap apa yang akan
dipelajari oleh pelajar. Motivasi bukan sahaja menggerakkan tingkah laku,
tetapi juga mengarahkan dan memperkuat tingkah laku. Pelajar yang bermotivasi
dalam pembelajaran akan menunjukkan minat, semangat dan ketekunan yang tinggi
dalam pelajaran, tanpa banyak bergantung kepada guru.
Menurut para pakar motivasi terdapat dua jenis motivasi yang umum, iaitu
motivasi intrinsik dan ekstrinsik. Motivasi intrinsik adalah keinginan
bertindak yang disebabkan oleh faktor pendorong yang murni berasal dari dalam
diri individu, dan tujuan tindakan itu terlibat di dalam tindakan itu sendiri,
bukan di luar tindakan tersebut. Berbeza dengan motivasi ekstrinsik, iaitu
keinginan bertingkah laku sebagai akibat dari adanya rangsangan dari luar atau
kerana adanya kekuasaan dari luar. Tujuan bertingkah laku pun tidak terlibat
dalam tingkah laku itu sendiri, tetapi berada di luar tindakan tersebut.
Di dalam proses belajar, motivasi intrinsik lebih berkesan
mendorong pelajar dalam belajar. Namun bukan bermakna bahawa motivasi
ekstrinsik perlu dihindari sama sekali. Motivasi ekstrinsik dapat memancing
timbulnya motivasi intrinsik. Banyak pelajar yang termotivasi secara ekstrinsik
dapat berjaya dengan baik dalam belajar, seperti halnya dengan pelajar-pelajar
yang termotivasi secara intrinsik, asalkan guru dapat membantu mereka dengan
cara yang tepat sesuai dengan keperluan mereka. Ada berbagai cara yang dapat dilakukan
oleh guru dalam membangkitkan motivasi pelajar dalam belajar melalui
pengembangan motivasi ekstrinsik, seperti memberikan penghargaan atau celaan,
membangun persaingan, memberikan hadiah atau hukuman, dan memberi tahu kemajuan
yang dicapai oleh pelajar. Masing-masing cara mempunyai kelebihan-kelebihan dan
kelemahan-kelemahannya sendiri. Guru harus menentukan cara yang paling tepat
sehingga berbagai kelemahan dapat dikurangi atau dihindarkan sama sekali, dan
sebaliknya kekuatan-kekuatan yang ada dikembangkan dan dimanfaatkan
sebesar-besarnya.
Nama :
Khoko Jannatul Pratama
NPM :
37111831
Kelas :
1 DB 11
Sumber :
http://www.oocities.org/usrafidi/motivasi.html
http://tutorialkuliah.blogspot.com/2009/05/konsep-konsep-dasar-tentang-motivasi.html